0

Bapaku P Ramlee

Wednesday, February 4, 2009

Aku dah lama tak membaca.Baik buku-buku teks sekolah ataupun buku-buku motivasi untuk menjadi kaya(yang semestinya dapat membuatkan penulis buku tersebut menjadi kaya-raya).Buku terakhir yang aku baca ialah sebuah buku biografi P.Ramlee yang ditulis oleh anaknya sendiri iaitu Nasir P.Ramlee.Buku yang bertajuk 'Bapaku P.Ramlee'.

Memang kita selalu mendengar cerita yang baik-baik sahaja mengenai P Ramlee daripada kenalan-kenalan rapat beliau, yang pernah berlakon bersama,mahupun yang pernah berguru dengan beliau.Tetapi melalui buku ini,satu-satunya anak kandung beliau(Sazali,Dian dan lain-lain adalah anak angkat) membongkar sisi peribadi beliau yang mungkin tak pernah orang tahu sebelum ini.Nasir(Allahyarham) berjaya memberitahu kepada umum,bapanya juga adalah manusia biasa yang sering melakukan kesilapan dan mempunyai kelemahan,sama seperti kita,manusia.

Dapat dirumuskan,P Ramlee seorang yang tegas dalam berkarya.Hasil ketegasannya itu berjaya menjadikan filem-filem dan lagu tulisannya menjadi 'selamanya hijau'(evergreen) dan kekal digemari hingga ke hari ini.Tetapi Nasir semasa mudanya pernah menempelak hasil karya bapanya sendiri dan ianya diberitahu 'straight forward' kepada bapanya melalui satu perbualan.

"Kenapa Lu selalu buat lagu pasal cinta,nama-nama perempuan..Gua tak suka la."

Lebih kurang begitu pertanyaannya.Ianya dijawab dengan marah dan ego oleh P.Ramlee.

"Ada tiga.Pertama, itu Gua punya suka.Kedua,Lu memang anak tak guna.Ketiga, suatu hari nanti orang akan menyanjungi lagu-lagu aku sampai bila-bila pun dan mengakui betapa hebatnya lagu ciptaan P Ramlee.Apa punya anak la Lu ni.Orang lain punya la suka lagu-lagu,Lu pula tak boleh nampak betapa istimewanya lagu-lagu aku.."

Aku memang suka dengan jawapan pertama beliau.Sebab kalau boleh,aku juga nak jawab macam tu bila orang kutuk lagu-lagu aku.Hehe..
Jawapan ketiga beliau baru dapat diterima oleh Nasir hanya selepas dia menggubah dan menyusun semula lagu-lagu ciptaan P Ramlee.
Beliau menggambarkan lagu-lagu P Ramlee dengan:

"Melodinya sungguh merdu sehingga menusuk kalbu dan progression chord yang digunakan sangat advance sehingga boleh digunakan sehingga zaman sekarang.Gua salute Lu,P Ramlee!"

Mengenai kehidupan peribadi insan bernama P Ramlee,umum mengetahui beliau pernah mengahwini beberapa orang wanita dan juga beberapa kali bercerai.Salah satu kisah yang menarik perhatian aku ialah mengenai perceraian P Ramlee dengan Norizan seorang wanita keturunan diraja.P Ramlee memberi kata-kata terakhirnya kepada Norizan.

"Norie..dulu masa I nak mengahwini You, I sembah you sebab You keturunan diraja.Sekarang bila I nak pulangkan you balik ke Istana,I juga akan sembah You."

Kata-katanya dikotakan melalui filem Laksamana Do Re Mi apabila beliau mengundang Norizan untuk berlakon dalam filem tersebut membawa watak sebagai seorang Tuan Puteri.Di dalam filem tersebutlah beliau menyembah Norizan sebagai tanda perpisahan.

Aku juga amat terharu membaca satu kisah mengenai kelemahan P Ramlee iaitu terlampau jujur dan mudah mempercayai orang.Di sebalik ramai yang menyukai P Ramlee,ramai juga di kalangan pelakon-pelakon seangkatan beliau yang tidak menyukainya dan juga suka cakap-cakap belakang mengutuk beliau.P Ramlee juga tahu siapa yang tidak menyukainya,tetapi masih juga mengundang mereka untuk membintangi filem-filem arahannya.Nasir pernah mendengar pelakon S. Kadarisman berkata,

"Aku heran la dengan manusia Ramlee ni.Aku selalu kutuk-kutuk dia,tapi diambilnya juga aku berlakon.Memang istimewa si manusia Ramlee ni"

Lalu Nasir pun memberitahu kepada bapanya mengenai tindakan beliau mengambil orang-orang yang tak menyukainya berlakon.Jawapannya amat padat.

"Mereka tak suka Daddy, tapi Daddy suka mereka.Kalau mereka tak suka kat Daddy,itu urusan mereka dengan tuhan."

P Ramlee adalah satu nama besar dalam industri muzik dan filem Malaysia.Tapi beliau hanya dihargai apabila beliau meninggal dunia.Semasa hidup,beliau pernah mengalami zaman kejatuhan apabila berpindah dari Singapura ke Kuala Lumpur.Beliau juga hanya mampu meninggalkan sebuah rumah teres kepada anaknya.Tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia,lagu-lagu dan filem-filem arahannya masih menjadi harta peninggalan paling berharga beberapa generasi lamanya.Mungkin dia tidak bijak untuk menggunakan bakatnya demi meraih kekayaan,tetapi adakah karya P Ramlee akan tetap sama jika beliau memikirkan mengenai keuntungan dan kekayaan beliau semata-mata?

Gua salute Lu,P Ramlee!

(Al -Fatihah kepada Nasir P Ramlee yang baru sahaja meninggal dunia baru-baru ini.Kita bernasib baik kerana arwah sempat menulis buku ini ketika masih hidup.)

0 Responses to "Bapaku P Ramlee"